Makluman.... Untuk paparan yang baik sila gunakan browser Mozilla Firefox dan resolusi 1024 x768!.... WTV8 dan WEBRTV TV Alternatif Online Kita!....

KENAIKAN HARGA MINYAK : RAKYAT AKAN BANGKIT !

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) amat kesal dan kecewa atas perkembangan mutakhir yang memperlihatkan sikap berlepas tangan kerajaan terhadap nasib dan kepentingan rakyat dalam menangani pelbagai isu yang melanda negara ketika ini. Terbaru di dalam isu kenaikan harga minyak. DPPP melihat isu kenaikan harga minyak ini sewajarnya ditangani dengan bijaksana dan kritis. Pertimbangan segenap sudut perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai prasyarat utama. DPPP menegaskan kepada kerajaan untuk tidak mempergunakan sewenang-wenangnya faktor kenaikan harga minyak global sebagai alasan untuk kenaikan ini.

Secara tegasnya DPPP berpendirian, didalam isu kenaikan harga minyak ini terdapat ruang yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan agar kenaikan harga minyak dipasaran global dapat dimanfaatkan bersama oleh rakyat. Antara perkara yang perlu dberi perhatian ialah berkenaan pengagihan keuntungan Petronas.

Umum menyedari bahawa kenaikan minyak dipasaran global bukan sahaja memberi impak negatif kepada negara tetapi ianya juga memberi impak yang positif terutamanya kepada syarikat petroleum negara, Petronas. Jika perbandingan dilakukan secara jelas dapat dilihat kesan daripada kenaikan harga minyak di pasaran global memberi peningkatan keuntungan kepada Petronas. Catatannya menunjukkan dalam tahun kewangan berakhir MAC 2005 Petronas mencatatkan keuntungan sebanyak RM 58.03 billion berbanding RM 37.44 billion pada tahun sebelumnya. DPPP berpendirian sewajarnya di dalam tempoh kritikal sebegini keuntungan berlipat ganda yang diperolehi oleh Petronas perlu diagih dan dinikmati oleh rakyat di dalam bentuk yang difikirkan sesuai. Di dalam hal ini DPPP mencadangkan agar beban pemotongan subsidi yang dilakukan oleh kerajaan ke atas harga petrol dan diesel ditanggung oleh Petronas.

Bagi DPPP cadangan ini adalah suatu yang cukup rasional untuk dipertimbangkan. Jika sebelum ini Petronas beberapa kali diarah untuk menyalurkan dananya bagi menyelamatkan beberapa projek pembangunan kerajaan maka tiada salahnya untuk kali ini perkara yang sama dilakukan demi untuk kepentingan rakyat yang kian terhimpit di dalam arus pembangunan.

Pertimbangan serius atas perkara ini adalah bukti ketelusan dan keprihatinan kerajaan terhadap kelangsungan hidup rakyat. Tidak sewajarnya pada saat yang getir ini kerjaan menolak cadangan pengagihan keuntungan Petronas kepada rakyat dengan alasan ianya lebih diperlukan bagi tujuan pembanggunan negara. Jika ini adalah pendirian kerajaan maka jelas sekali bahawa kerajaan tidak bertindak bijak dan lebih memalukan ia mempamerkan sikap sebenar kerajaan yang tidak prihatin terhadap rakyat. Pastinya ia adalah sesuatu yang amat mengecewakan.

Sewajarnya kerajaan menyedari bahawa kenaikan harga minyak dipasaan akan memberi kesan yang lebih besar kepada rakyat berbanding daripada ketiadaan projek-projek pembanggunan lain. Kenaikan harga minyak akan mempengaruhi kenaikan harga barangan dipasaran. Kesan ini hendak atau tidak tetap akan berlaku. Maka pastinya ia akan mengakibatkan risiko inflasi yang lebih teruk. Mengalihkan fokus rakyat daripada isu ini dengan cadangan dangkal menggalakkan rakyat untuk berjimat menggunakan minyak dengan mempromosikan idea perkongsian kereta adalah sesuatu yang tidak praktikal pada masanya. Ini kerana isu kenaikan harga minyak dipasaran bukan sekadar berputar kepada penggunaan kereta ianya melibatkan keseluruhan sistem dalam negara dan masyarakat. Minyak sebagai bahan keperluan asas akan memberi kesan kepada semua perkara. Adalah sesuatu yang amat mengecewakan seandainya kerajaan tidak dapat melihat perkara ini sebaiknya.

DPPP menegaskan bahawa sebuah kerajaan yang prihatin terhadap nasib rakyatnya akan melihat keperluan rakyat itu lebih penting daripada hal-hal lain. Maka atas prinsip ini DPPP mendesak kerajaan untuk bersikap wajar dengan mengutamakan kepentingan rakyat di dalam isu kenaikan harga minyak berbanding hal-hal yang berkaitan dengan pembanggunan fizikal negara. DPPP juga menegaskan bahawa kerajaan tidak sewenang-wenangnya mempergunakan sikap berbaik sangka rakyat bagi mewajarkan sebarang tindakan. Mandat penuh yang diperolehi kerajaan dalam pilihanraya yang lalu bukanlah tiket untuk kerajaan bertindak sesuka hati sehingga membelakangkan kepentingan rakyat. Dengan rentetan isu yang melanda negara. Serta beberapa siri tindakan kerajaan yang menzalimi rakyat DPPP amat yakin sehingga sampai pada detiknya rakyat akan bangkit.

Malah DPPP menyeru kepada seluruh rakyat untuk bangkit mempertahankan hak mereka daripada sebarang bentuk penindasan dan sikap berlepas tangan kerajaan didalam isu kenaikan harga minyak ini. Mempraktikkan hak untuk menyuarakan pandangan dan pendapat terkadang mampu menyedarkan mereka yang terleka dengan kilauan di puncak sehingga melupakan orang yang menaikkan mereka.

MAZLAN BIN ALIMAN
NAIB KETUA PEMUDA PAS PUSAT
1 SAFAR 1427 / 1 MAC 2006

 
posted by dppk sekijang at 7:17 PM |


0 Comments: