Makluman.... Untuk paparan yang baik sila gunakan browser Mozilla Firefox dan resolusi 1024 x768!.... WTV8 dan WEBRTV TV Alternatif Online Kita!....

KERAJAAN LEMAH : LETAK JAWATAN DAN BUBARKAN PARLIMEN !

Satu kesimpulan yang boleh dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) terhadap isu kenaikan harga minyak yang hangat dan heboh diperdebatkan ketika ini ialah kegagalan kerajaan dalam mentadbir negara khususnya dalam perkara yang melibatkan pengurusan dan pengagihan hasil pendapatan dan kekayaan negara. Malah wawacara Isu Semasa Khas bersama Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Isu Harga dan Bekalan Diesel menjelaskan lagi kegagalan tersebut. Asasnya kegagalan ini dilihat banyak berpunca daripada amalan kerajaan yang boros, membazir dan tiadanya ketelusan dalam banyak perkara yang melibatkan projek pembangunan negara. Kesannya kerajaan dilihat lebih banyak membazirkan duit rakyat bagi mengatasi pelbagai masalah yang tidak sewajar timbul daripada menggunakannya bagi tujuan kepentingan orang teramai dalam saat getir seperti ini. Inilah persoalan sebenar yang melanda negara ini, semuanya berpunca daripada sebuah kerajaan yang lemah dan tidak bertanggungjawab terhadap rakyatnya.

DPPP melihat perkembangan ini secara serius terutama kegagalan kerajaan dalam menangani beberapa isu yang secara jelas menyentuh kepada kepentingan rakyat. Sikap kerajaan yang bertindak atas keputusan yang tidak konkrit dan tiada hala tuju yang jelas lebih mempamerkan kerajaan yang ada hari ini bersikap lepas tangan dengan membebankan sepenuhnya kepada rakyat bagi setiap isu yang melanda negara. Isu kenaikan harga minyak ketika ini adalah contoh yang terbaik untuk dinilai oleh rakyat akan kebenaran ini. Tindakan, cadangan dan saranan yang dikemukakan kerajaan yang bersandarkan kepada hujah politik dilihat lebih kepada ‘gula-gula’ untuk menenangkan emosi rakyat berbanding untuk menyelesaikan permasalahan sebenar.

Isu penjimatan RM 16 billion yang ditimbulkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam wawacara tersebut yang dikatakan sebagai langkah proaktif kerajaan bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang baik adalah hujah yang dikutip daripada ‘tong sampah’ politik. DPPP mempersoalkan integriti kerajaan di dalam hal ini. Mengapa di dalam isu pemberian subsidi harga minyak kepada rakyat, kerajaan cukup berkira pada setiap sen yang dibelanjakan tetapi pada ketika kerajaan membelanjakan berbillion ringgit wang rakyat untuk menutup segala permasalahan yang timbul dalam projek-projek pembanggunan kerajaan dan juga pada ketika kerajaan ‘meleburkan’ berbillion ringgit wang rakyat bagi menyelamatkan syarikat-syarikat bermasalah tidak timbul sedikitpun isu penjimatan ? Inikah yang dikatakan sebuah kerajaan yang prihatin dan sedang menuju ke arah pengujudan sebuah kerajaan yang baik ? Jika hujah penjimatan RM 16 billion yang dibangkitkan DPPP menegaskan kepada kerajaan untuk mencermin dahulu setiap tindakan yang mereka ambil sehingga menyebabkan rakyat dan negara kerugian berbillion ringgit sebelum hendak menuding kepada rakyat dan berbicara tentang penjimatan !

Begitu juga halnya dengan jaminan dan janji kerajaan untuk menyalurkan penjimatan RM 16 billion tersebut ke dalam satu Kumpulan Wang Amanah bagi tujuan penambahbaikan pengangkutan awam. Secara prinsipnya DPPP memahami matlamat dan tujuan tersebut yang mana dengan penambahbaikan sistem pengangkutan awam dinegara ini akan menggalakkan rakyat untuk menggunakannya dan secara automatisnya kadar penggunaan kereta persendirian akan berkurangan. Maka secara logiknya kadar penggunaan minyak juga akan kurang dan penjimatan berlaku disini. Tetapi persoalannya apa jaminan kerajaan bahawa bagi setiap sen dalam RM 16 billion tersebut akan membuahkan natijah yang diharapkan sedangkan telah berpuluh tahun kerajaan menjanjikan penambahbaikan sistem pengangkutan awam tetapi hasilnya jangan kata memuaskan malah lebih teruk lagi. Tidak sedarkah kerajaan cadangan yang diuar-uarkan sebagai penyelesaian berpakej ini hanyalah suatu teknik isu ‘rebranding’ bagi menutup daripada isu yang sebenar. Bagi DPPP apa yang diselindungkan oleh kerajaan ialah ketidakmampuan kewangan kerajaan untuk membangunkan projek-projek kepentingan rakyat kesan daripada amalan pembaziran dan boros. Maka atas kesedaran itulah DPPP sekali menegaskan kepada kerajaan agar jangan cuba untuk memperbodohkan rakyat dengan hujah yang dangkal kerana rakyat hari ini tidak semudah itu untuk diperkotak-katikkan. Jika sebelum ini kerajaan pimpinan UMNO/BN begitu berbangga dengan gagasan pembangunannya di dalam kempen-kempen pilihanraya sehingga dengan angkuhnya mengatakan bahawa tanpa UMNO/BN negara tidak akan membangun sekarang dimana keangkuhan itu buktikanlah !

Di dalam isu kesan kenaikan harga minyak yang akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran. Kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan bagi kenaikan harga minyak kali ini. Bagi DPPP ini adalah pembohongan yang paling ketara sekali dilakukan oleh kerajaan. Kerap kali pembohongan ini dijadikan modal untuk mewajarkan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak. Tidak sedarkah kerajaan pada 3 kali kenaikan harga minyak tahun lalu, boleh dikatakan hampir keseluruhan harga barang dan perkhidmatan naik secara mendadak. Jangan berhujah dengan mengatakan bahawa kos minyak yang hanya melibatkan 1.5 peratus daripada keseluruhan kos pengeluaran tidak akan menjadi faktor kepada kenaikan harga barang jika harga minyak dinaikkan. Angka tetap angka tetapi realitinya berbeza. Hendak atau tidak terutamanya bagi sektor peruncitan yang profit marginnya kecil jika berlaku walaupun sedikit peningkatan kos harga tetap perlu dinaikkan kerana perniagaan tetap sebuah firma yang berusaha untuk memastikan keuntungan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang yang profit margin nya bukannya pada kadar maksimun tapi minima ! Jadinya dimana logiknya hujah kenaikan harga minyak tidak akan menyumbang kepada kenaikan harga barangan dan inflasi. Sekali lagi DPPP mengingatkan kerajaan hari ini rakyat semakin bijak maka pastikan jika hendak berbohong berbohonglah secara bijak !

Seperkara yang amat mengecewakan DPPP lewat daripada wawancara tersebut ialah tidak berbangkitnya soal keuntungan berlipat ganda Petronas yang dituntut rakyat untuk digunakan bagi mengurangkan beban yang mereka hadapi ketika ini. Jelas sekali ketelusan tidak menjadi pegangan kerajaan dalam hal ini. Desakan dan harapan rakyat untuk setidak-tidaknya menikmati sedikit hasil dari bumi yang dipijak ini dinafikan kerana keangkuhan kerajaan yang ada. Tidak sewajarnya ketika rakyat begitu berharap akan kepada Petronas, tetapi jawaban yang diberi hanyalah fakta yang menyatakan bahawa rizab minyak negara dijangka akan habis pada 2010 dan untuk itu rakyat tidak wajar bergantung daripada keuntungan Petronas. Rakyat tidak mempersoalkan tentang hal tersebut tetapi rakyat membangkitkan tentang keuntungan puluhan tahun yang dinikmati oleh Petronas sehingga mencecah ratusan billion. Adakah menjadi satu kudis kepada kerajaan untuk menyalurkan keuntungan Petronas kepada rakyat bagi mengurangkan beban mereka yang cukup terhimpit kini ? DPPP mempersoalkan hujah kerajaan di dalam hal ini. Persoalan kehabisan rizab minyak negara, tidak berkait langsung dengan cadangan pengagihan keuntungan Petronas untuk kemaslahatan rakyat. Malah keuntungan Petronas itu sendiri sebenarnya bukan sahaja datang dari sumber minyak di dalam negara tetapi juga pada keuntungan perlaburan Petronas diluar negara. Perlaburan Petronas diluar negara melibatkan 35 buah negara dengan melibatkan perlaburan mencecah sehingga US$ 9.4 million. Malah kerajaan sendiri pada tahun 2004 menerima sehingga RM 31.2 billion hasil daripada dividen yang dibayar Petronas kepada kerajaan. Maka di dalam cadangan pengagihan keuntungan Petronas kepada rakyat janganlah kerajaan melarikan isu yang sebenar dengan fakta yang tidak wajar. Berdolak-dalik dalam isu ini membuatkan rakyat keliru dan curiga tentang kemana sebenarnya hasil keuntungan Petronas ini disalurkan adakah ianya disalurkan kepada perbendaharaan negara atau kemana ?

Inilah kenyataannya, kenyataannya isu kenaikan minyak ini adalah bukti betapa lemahnya kerajaan yang ada pada ketika ini. Pentadbiran kerajaan didasarkan kepada idea usang dan lapuk. Retorik dan omongan kosong politik turut dijadikan faktor kepada pembinaan negara. DPPP menegaskan kepada kerajaan sudah sampai masanya kerajaan diam daripada beristilah dan beretorik. Slogan tidak kira apa pun bunyinya tidak kiralah “bekerja bersama saya”, mahupun “cemerlang, gemilang, terbilang” atau apa saja ianya tidak memberi sumbangan apa-apa kepada rakyat. Hari ini rakyat ingin melihat tindakan yang lebih proaktif, bukan madah dan slogan. Namun begitu seandainya kerajaan terus angkuh dan menafikan aspirasi rakyat ini pilihan yang ada kepada kerajaan ialah letakkan jawatan dan bubarkan parlimen ! Kerana kerajaan yang ada pada ketika ini adalah kerajaan yang mengkhianati aspirasi rakyat, kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang muflis, kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang tidak bertanggungjawab, kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang tiada kredibaliti untuk membawa rakyat negara ini kekemuncak kegemilangannya. Setidak-tidaknya itulah yang lebih bermaruah daripada muncul dihadapan media kemudian membicarakan pembohongan demi pembohongan kepada rakyat yang menaikkan mereka !


MAZLAN BIN ALIMAN
NAIB KETUA PEMUDA PAS PUSAT
2 SAFAR 1427 / 2 MAC 2006

 
posted by dppk sekijang at 7:23 PM |


0 Comments: