Makluman.... Untuk paparan yang baik sila gunakan browser Mozilla Firefox dan resolusi 1024 x768!.... WTV8 dan WEBRTV TV Alternatif Online Kita!....

PENGKHIANATAN TERBESAR TERHADAP NEGARA !

Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP ) melihat secara serius tulisan yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia ( 19 Mac 2006 / Ahad ) melalui ruangan wawancara bersama Pengarah Urusan Gerbang Perdana Sdn Bhd, Datuk Yahya A. Jalil. Gambaran tentang persetujuan kerajaan untuk membenarkan penggunaan ruang udara negara dan perbekalan pasir adalah suatu yang amat mendukacitakan. DPPP melihat perkembangan ini sebagai satu pengkhianatan terbesar parti pemerintah yang diterajui oleh UMNO/BN terhadap negara dan rakyat. Membenarkan penggunaan ruang udara negara kepada Singapura merupakan satu tindakan yang amat tidak wajar dilakukan oleh kerajaan. Mana-mana negara yang berdaulat sekalipun tidak akan membenarkan tindakan ini. Ini kerana ianya bukan sekadar melibatkan maruah dan kedaulatan negara tetapi ianya juga melibatkan tentang keselamatan rakyat dan negara.

Begitu juga halnya dengan persetujuan untuk membekalkan pasir kepada Singapura. Sebagaimana yang dinyatakan, bahawa persetujuan ini bermakna Malaysia akan membekalkan sebanyak 200 juta meter padu pasir selama tempoh 20 tahun bagi melebarkan Pulau Tekong, Tuas dan Jurong. Menjelang tempoh tersebut sebenarnya kita telah membantu Singapura untuk memperluaskan lagi wilayahnya. Persoalannya tidak sedarkah pimpinan kerajaan keadaan ini kelak akan mengundang lebih banyak permasalahan dimasa depan ?

Jika sebelum ini kita menentang sekeras-kerasnya tindakan Singapura melakukan proses penambakan laut dengan alasan ianya akan memberi kesan kepada perairan negara malah lebih kronik lagi kita menentang usaha Singapura tersebut sehingga membawanya ke mahkamah antarabangsa kerana kesan negatifnya juga memudaratkan operasi TLDM di Tanjung Pengelih tetapi mengapa kini kerajaan dilihat berubah pendirian ? Adakah persoalan keselamatan dan kedaulatan negara kini bukan lagi menjadi keutamaan kerajaan ?

Jelas sekali kini keterdesakan kerajaan untuk meneruskan projek pembinaan jambatan tersebut bagi menyelamatkan CIQ ( Komplek Imegresen dan Kuarantin ) yang bernilai RM1.16 billion daripada menjadi projek gajah putih dipergunakan sepenuhnya oleh Singapura untuk memperolehi segala yang dicita daripada Malaysia. Lebih menyedihkan kerajaan dilihat begitu mudah diperbudakkan oleh Singapura semata-mata untuk mempertahankan ego mereka.

Bagi DPPP keterdesakkan ini tidak akan timbul jika kerajaan mempunyai satu perancangan yang sistematik bagi setiap projek pembangunan negara. Isu kerugian RM1.16 billion sebagaimana yang ditimbulkan oleh Datuk Yaya A. Jalil tidak akan timbul jika kerajaan mempunyai perancangan yang jelas dan telus. Sewajarnya sebelum sesuatu projek dilaksanakan terutamanya bagi yang melibatkan pihak lain kebenaran bersama perlu diusahakan terlebih dahulu sebelum perlaksanaan projek dimulakan. Tetapi di dalam hal pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor ini kerajaan mengamalkan kaedah pengurusan projek yang cukup pelik, projek dimulakan dulu kemudian baru meminta kebenaran. Kerana kepelikan inilah kerajaan terpaksa menanggung tambahan kos sebanyak RM33 juta bagi membina laluan menyambungkan Tambak Johor ke CIQ apabila projek pembinaan jambatan tertangguh.

Inilah realitinya permasalahan isu pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor, tindakan mengambil kesempatan Singapura secara jelas tidak dapat diterima tetapi persoalan pokoknya ianya timbul kerana kesilapan pimpinan kerajaan Malaysia sendiri. Lemah dalam mentadbir negara, gagal untuk melaksanakan pembangunan secara strategik serta kepimpinan yang tidak konsisten dan kredibal. Inilah yang mendasari amalan pentadbiran negara yang mana kesannya kini jutaan duit rakyat seringkali lebur hanya untuk memperbaiki kesilapan yang mereka lakukan.

Kini dalam menyelesaikan isu pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor kerajaan dilihat mengulangi prinsip yang sama, menyelesaikan masalah dengan mencipta masalah baru. Kerajaan dilihat tidak mempunyai kredibaliti untuk mewakili kepentingan rakyat di dalam isu pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor ini. Pertimbangan singkat dengan mengenepikan pengajaran-pengajaran daripada peristiwa lalu kini mewarnai rundingan antara Malaysia-Singapura di dalam isu ini. Jika sebelum ini kita ditipu hidup-hidup dalam perjanjian perbekalan air dan banyak lagi isu yang berbangkit, DPPP melihat rundingan berkenaan isu pembinaan jambatan ini juga akan mengulangi episod yang sama.

DPPP dengan tegas berpendirian bahawa sebarang keputusan kerajaan untuk memberi persetujuan terhadap permintaan Singapura adalah suatu kesilapan yang akan mengundang bala yang lebih besar kepada negara. Persetujuan ini merupakan satu pengkhianatan yang tidak akan dimaafkan oleh rakyat.

MAZLAN BIN ALIMAN
NAIB KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

 
posted by dppk sekijang at 7:31 PM |


0 Comments: