Makluman.... Untuk paparan yang baik sila gunakan browser Mozilla Firefox dan resolusi 1024 x768!.... WTV8 dan WEBRTV TV Alternatif Online Kita!....

PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA PERLU DINILAI SEMULA

Mampukah tragedi kematian pelatih Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN ), adik Haziq bin Jaafar akan melembutkan kedegilan kerajaan dan Jabatan Latihan Khidmat Negara ( JLKN ) terhadap saranan pelbagai pihak khususnya PAS agar penilaian semula PLKN dilakukan bagi memastikan pengurusan dan perlaksanaan PLKN mencapai kepada objektifnya ? Inilah persoalan yang menjadi tanda tanya kepada Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP ) apabila dimaklumkan tentang tragedi yang menimpa adik Haziq tersebut.

Telah berkali saranan ini dibangkitkan oleh DPPP lewat pelbagai usaha samada melalui kenyataan media, memorandum dan sebagainya. Telah berulang kali juga DPPP meluahkan kerisauan terhadap kepincangan pengurusan PLKN yang dikhuatiri satu hari nanti akan mendatangkan mudarat kepada peserta. Begitu juga telah berderet pandangan yang diutarakan oleh DPPP bagi membantu kerajaan dan JLKN untuk memastikan PLKN mencapai statusnya sebagai sebuah program pembinaan insan ulung negara. Tetapi segala usaha, luahan dan pandangan DPPP itu tidak sedikit pun dipandang oleh kerajaan mahupun JLKN. Malah lebih memilukan usaha DPPP tersebut dipandang sepi dan dibakul sampahkan oleh kerajaan dengan angkuh.

Mungkin sudah menjadi tradisi kepimpinan negara ini yang hanya terngadah apabila telah terhantuk dan mungkin juga telah menjadi amalan kepimpinan negara ini yang lebih mudah mempelajari sesuatu perkara dengan cara yang paling menyakitkan. Maka jika benar inilah tradisinya maka bagi DPPP apa yang menimpa keatas adik Haziq dan keluarganya adalah tragedi yang sengaja ditempa dan untuk itu DPPP meletakkan sepenuhnya pertanggungjawaban terhadap apa yang telah berlaku diatas bahu kerajaan dan JLKN khususnya.

DPPP menegaskan, tiada ruang lagi untuk kerajaan berdalih mahupun mengkambing hitamkan pihak lain atas segala apa yang berlaku. Tiada ruang juga untuk kerajaan ‘menjual’ retorik lapuk bagi menjustifikasikan tragedi yang berlaku. Nyawa yang dikorbankan oleh adik Haziq terlalu mahal untuk dibayar dengan retorik usang lagi memualkan.

Maka bagi untuk itu DPPP mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan segera dengan :

  1. Menutup sementara waktu kem latihan yang terlibat ( Kem Agro Tourism Kluang ) Penutupan ini bagi memastikan satu siasatan lengkap dapat dijalankan untuk menilai semula keseluruhan aspek yang telah menyumbang kepada yang berlaku kepada adik Haziq. Khususnya penilaian ini ialah bagi melihat kemampuan fungsi dan peranan jurulatih bagi memastikan kejadian yang berlaku tidak berulang.
  1. Menilai semula operator pengendali kem bagi memastikan kem latihan yang digunakan menyediakan suasana yang kondusif kepada peserta.
  1. Menyiasat secara terperinci punca kejadian berlaku. Malah DPPP menginggatkan kerajaan untuk tidak melihat apa yang berlaku sebagai kes terpencil ini kerana ianya melibatkan kematian dan yang lebih penting lagi ianya melibatkan pergaduhan antara kaum. Maka kajian menyeluruh dan telus perlu dilakukan.
  1. Kajian menyeluruh terhadap modul latihan PLKN juga perlu dilakukan. Ini kerana jelas dari hari ke hari kes pergaduhan dan sebagainya kian kerap dilaporkan. Ini seakan-akan menunjukkan modul yang sedia ada gagal membentuk disiplin peserta malah lebih teruk ianya menjadikan pelatih lebih ganas dan tidak berdisiplin.
  1. Malah lebih daripada itu DPPP mendesak agar satu kajian dilakukan bagi menilai semula tahap keberkesanan PLKN itu sendiri untuk berfungsi sebagai program pembinaan insan ulung negara ini. Dengan segala isu yang berbangkit serta permasalahan yang timbul DPPP menegaskan bahawa masanya untuk melakukan penilaian semula adalah lebih mendesak. Untuk itu langkah awal yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah dengan menangguh dan menghentikan seketika pengambilan pelatih sehingga satu laporan lengkap hasil daripada siasatan dan kajian itu diumumkan.
Maka untuk itu DPPP menyeru dengan tegas, agar kerajaan membuktikan, bahawa kerajaan yang ada hari ini adalah sebuah kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab terhadap keselamatan rakyatnya. Kerajaan juga perlu membuktikan ketelusan dan keterbukaan dengan memandang berat terhadap cadangan yang telah diberikan khususnya terhadap cadangan melakukan penilaian semula terhadap keberkesanan perlaksanaan PLKN.

Bagi tujuan tersebut DPPP menggariskan beberapa perkara yang tidak boleh dilepas pandang oleh semua pihak bagi memastikan penilaian semula tersebut benar-benar bererti kepada PLKN. Perkara yang digariskan oleh DPPP ini adalah kutipan cadangan daripada pandangan DPPP sebelum daripada ini.

  1. Menilai semula keseluruhan jurulatih yang terlibat bagi memastikan mereka yang telah dipilih benar-benar mempunyai kelayakan untuk bergelar jurulatih. Penilaian ini juga bagi memastikan setiap jurulatih yang dipilih tidak dilantik atas kapasiti bagi menjalankan kerja-kerja indoktrinisasi ke atas pelatih untuk pihak lain yang berkepentingan dan juga bagi memastikan jurulatih yang dilantik benar-benar layak. Kegagalan jurulatih berfungsi sebagaimana yang diharapkan dapat dilihat daripada beberapa kejadian seperti :

i. Laporan berlakunya kes-kes pencabulan oleh jurulatih terhadap pelatih wanita.

ii. Laporan berlakunya kes rogol yang melibatkan jurulatih.

iii. Laporan berlakunya kes jurulatih terlibat didalam pergaduhan dengan pelatih sehingga mengakibatkan kes Polis dan sebagainya.

iv. Laporan berlakunya proses indoktrinisasi oleh jurulatih bagi menyemai fahaman politik kepartian.

  1. Memansuhkan modul latihan yang digunakan. Modul yang diguna pakai oleh PLKN secara jelas tidak mampu dan gagal untuk menyokong hasrat kewujudan PLKN bagi membentuk sebuah generasi yang patriotik dan berdisiplin. Kegagalan modul ini dapat dilihat daripada :

i. Peningkatan kes yang melibatkan pergaduhan, kecurian dan vandalisme.

ii. Wujudnya perlakuan-perlakuan jenayah seperti rogol, cabul dan sebagainya yang cukup membimbangkan.

iii. Berlakunya kes-kes pergaduhan antara kaum sebagaimana yang dilaporkan berlaku di beberapa kem PLKN seperti di Kem Kuala Berang

iv. Kewujudan kumpulan-kumpulan ‘gangster’ di dalam kem latihan PLKN sehingga dilaporkan didalam satu peristiwa pihak Polis telah berjaya merampas sejumlah kayu dan besi yang dijadikan sebagai senjata.

v. Modul mengabaikan aspek-aspek agama sehingga berlakunya percampuran bebas, pengabaian terhadap amalan wajib agama dan sebagainya.

Bagi merangka modul yang akan digunapakai DPPP menggariskan pandangan dibawah sebagai garis panduan kepada kerajaan dan semua pihak yang bertanggungjawab :

i. Asas kepada modul perlu meletakkan kepercayaan kepada tuhan dan agama sebagai asas terpenting. Latihan, gerak kerja samada secara fizikal mahupun tidak perlu disandarkan kepada asas ini.

ii. Skop pembinaan kenegaraan dan patriotisme perlu diluaskan. Matlamat pemahaman pelatih perlu disasarkan kepada kejituan jati diri untuk sedia dan setia berkhidmat dan berkorban untuk negara bukan kepada parti politik pemerintah. Pembentukan pemikiran kritis kalangan peserta juga perlu disemai dan disegarkan ke arah membina warga negara kelas pertama.

iii. Pemahaman mendalam pelatih terhadap aspek-aspek perlembagaan negara dan kedaulatan undang-undangnya.

iv. Pembinaan jati diri dan disiplin pelatih perlu dilihat daripada skop yang lebih luas. Pembinaan sewajarnya tidak berlandaskan kepada paksaan tetapi lebih kepada kefahaman jelas yang lebih praktikal.

  1. Menilai kembali kem-kem latihan yang telah dipilih bagi memastikan segenap aspek yang melibat kemudahan asas, tahap keselamatan dan sebagainya dipenuhi tanpa kompromi. Pentauliah kem-kem latihan juga perlu melalui proses saringan yang ketat. Pengendalian kem hendaklah berdasarkan meritokrasi tidak sekadar memenuhi kuota yang ada. Kemampuan pengendalian kem untuk mewujudkan suasana kondusif kepada pelatih perlu dilihat sebagai syarat utama.
  1. Mewujudkan pengasingan antara pelatih lelaki dan wanita dengan menggunakan salah satu formula dibawah :

i. Pengasingan lelaki dan wanita melalui pengasingan kem latihan secara total. Contohnya kem Kuala Berang dikhususkan untuk lelaki manakala kem Sungai Semuji Resort dijadikan kem pelatih perempuan.

ii. Pengasingan lelaki dan wanita melalui proses sessi pengambilan pelatih. Sebagai contohnya sessi pertama pengambilan dikhususkan kepada lelaki manakal sessi kedua untuk perempuan dan begitulah seterusnya.

  1. Menilai semula penglibatan dan campur tangan agensi-agensi luar seperti Biro Tata Negara, Persatuan Belia dan sebagainya. Penglibatan agensi luar didalam program latihan PLKN mendedahkan PLKN kepada abusing oleh kepentingan pihak lain khusunya parti politik ( UMNO khususnya ). Pelatih-pelatih PLKN juga perlu dikekang daripada menghadiri mana-mana program yang melibatkan anjuran mana-mana parti-parti politik. Patriotisme dan semangat cintakan tanahair perlu dilihat pada skop yang luas tidak didalam kerangka sempit kepada politik UMNO sahaja.

Pandangan inilah yang acapkali diluahkan oleh DPPP kepada kerajaan bagi menjadikan PLKN lebih ampuh dan mantap objektif dan perlaksanaannya. Seandainya kerajaan lebih sensitif dan tidak terlalu angkuh terhadap keputusannya dengan menolak pandangan pihak lain mungkin kejadian yang menimpa kepada adik Haziq dapat dielakkan. Sayangnya semua telah berlaku.

DPPP amat memahami dan menyelami perasaan sedih dan kekecewaan keluarga adik Haziq terhadap apa yang berlaku. Untuk itu DPPP ucapkan takziah kepada seluruh keluarga adik Haziq. Namun begitu bagi DPPP ucapan tersebut tidak memadai seandainya tidak diiringi dengan iltizam untuk mendesak kerajaan bagi memastikan setiap kepincangan yang berlaku didalam PLKN diatasi.

Untuk itu DPPP menyeru kerajaan agar berani untuk mengaku segala kepincangan yang berlaku. Sudah sampai masanya kerajaan mencampak ketepi segala keangkuhan dan bersikap matang dengan mengambil setiap pandangan yang telah dilontarkan. Cukup sudah segala kepincangan PLKN menjadi duri dalam daging kepada rakyat negara ini semata-mata untuk memenuhi ego dan angkuh itu.

MAZLAN ALIMAN
NAIB KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
25 RABIUL AWAL / 24 APRIL 2006
0137130103 pircjohor@gmail.com

 
posted by dppk sekijang at 7:41 PM |


0 Comments: