Makluman.... Untuk paparan yang baik sila gunakan browser Mozilla Firefox dan resolusi 1024 x768!.... WTV8 dan WEBRTV TV Alternatif Online Kita!....

KONTROVERSI PEMBINAAN JAMBATAN BARU BAGI MENGGANTIKAN TAMBAK JOHOR : MARUAH DAN KEDAULATAN BUKAN TARUHAN



PENDAHULUAN

Rentetan polemik kontroversi pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor yang mendapat liputan meluas media massa ketika ini adalah bukti betapa lemahnya pengurusan pentadbiran negara pada ketika ini. Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP ) melihat isu ini kesan daripada sikap tidak prihatin dan juga kesan daripada perancangan pembangunan yang tidak sistematik dan futuristik. Secara langsungnya ia adalah menifestasi dari amalan kerajaan memerintah ( UMNO / BN ) yang tidak peka terhadap keperluan dan kehendak perubahan semasa.

PENGAJARAN DARI PENGALAMAN

DPPP berpandangan isu kontroversi pembinaan jambatan ini perlu dilihat secara kolektif termasuk faktor yang tidak perlu diabai lupakan ialah latar sejarah yang mewarnai hubungan antara Malaysia ( khususnya Johor ) dan Singapura. Kontroversi dan pertikaian, pertikaman lidah dan “serangan melalui media” serta perkara-perkara yang seumpamanya kerap mewarnai hubungan diplomatik Malaysia - Singapura. Beberapa isu yang telah dipakejkan di dalam pakej rundiangan antara Malaysia – Singapura semenjak daripada zaman Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad ( sekarang Tun ) sehinggalah penggantinya kini Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi tidak menemui titik penyelesaian. Isu tanah KTMB, Isu Pulau Batu Putih, Isu Air dan Isu Penambakan Laut tidak berupaya diselesaikan dalam situasi menang-menang. Malah lebih daripada itu sebahagian daripada isu ini terpaksa dirujuk ke mahkamah antarabangsa bagi menyelesaikannya secara perundangan. Ini adalah wajah hubungan Malaysia - Singapura, negara berjiran yang catatan sejarahnya merumpun bersama, tetapi kini ikatannya umpama api didalam sekam.

Bertitik tolak daripada latar inilah DPPP menegaskan pendirian bahawa dalam berhadapan karenah Singapura bagi menangani isu pembinaan jambatan baru untuk menggantikan Tambak Johor prinsip ketegasan perlu dipertahankan. DPPP menyeru pimpinan kerajaan Malaysia ( UMNO / BN ) untuk tidak hanya vokal dipentas sendiri dengan ucapan dan pandangan yang kritikal tetapi lesu dan lemah apabila berhadapan dengan rakan sejawat mereka di Singapura. Telahan ini bukan satu telahan kosong tetapi ianya dapat dilihat dalam beberapa isu yang melanda antara kedua buah negara sebelum daripada ini, contohnya di dalam isu pembekalan air serta tuntutan kenaikan tarif harganya dan isu penambakan laut oleh Singapura. Dalam menangani isu-isu ini pemimpin kerajaan khususnya pimpinan UMNO dilihat begitu vokal dan kritikal dalam memberi pandangan malah tindakan-tindakan yang diambil juga dilihat bagaikan cetusan api. Laungan yang berbaur perkauman dan bersifat cauvinis begitu kuat hingga membawa kepada tindakan demonstrasi oleh Pemuda UMNO Johor. Tetapi hakikatnya apabila didedah, jelas sekali bahawa segala ketegasan dan kelantangan itu semua adalah retorik dan sandiwara teragung diabad ini. Hakikatnya kelemahan, pengkhianatan dan bermuka-muka adalah kenyataan yang dilindung. Dalam isu pembekalan air kedunguan pimpinan jelas terpamer apabila “ditipu hidup-hidup” oleh kerajaan Singapura di dalam perjanjian yang berat sebelah. Begitu juga halnya dalam isu penambakan laut oleh Singapura, kelantangan yang dipamerkan hanyalah topeng bagi menyembunyikan hakikat bahawa yang membekalkan pasir itu sendiri adalah syarikat Malaysia yang mendapat kebenaran daripada kerajaan.

ADAKAH WUJUD SATU LAGI SANDIWARA ?

Ini adalah persoalan yang berlingkar di dalam minda rakyat yang mual dengan sikap pimpinan kerajaan terutamanya dalam hal menangani isu-isu semasa antara Malaysia -Singapura sebelum ini. Kecurigaan dan kebimbangan rakyat adalah wajar jika peristiwa-peristiwa sebelum ini dan kronologi pembinaan jambatan ini dijadikan ukuran.

DPPP mempersoalkan kejujuran pimpinan kerajaan, terutamanya pimpinan kerjaaan diperingkat negeri didalam menangani projek pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor yang penuh dengan sejarah itu. Persoalan inilah yang menjadi kebimbangan rakyat. Kebimbangan ini pada prinsipnya bukanlah bersandar kepada niat untuk menolak sebarang bentuk projek pembanggunan di negeri Johor ini. Rakyat negeri Johor ( khususnya ) adalah rakyat yang begitu prihatin terhadap jatuh bangun negeri mereka yang tercinta. Keyakinan rakyat negeri Johor dalam menyokong setiap projek pembangunan kerajaan bagi tujuan manfaat rakyat tidak mampu dinafikan oleh mana-mana pihak. Namun begitu yang dipersoalkan ialah metodologi, prinsip dan tujuan pembinaan jambatan ini. Kronologi peristiwa yang berlaku cukup membinggungkan rakyat. Perancangan infrastruktur yang caca marba tidak seiring dengan hasrat matlamat yang diuar-uarkan.

PENYELESAIAN MASALAH TRAFIK. JAMBATAN BARU JAWABANNYA ?

Benarkah projek pembinaan jambatan ini bertujuan bagi memperbaiki kesesakkan trafik di Bandaraya Johor Bahru ( JB ) ? Soalnya, jika kesesakan bandaraya Johor Bahru yang dijadikan isu dimana logiknya bahawa penyelesaian terbaik untuk mengatasi permasalahan tersebut ialah dengan membina sebuah jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor ? Bukankah secara logiknya kewujudan jambatan baru ini akan menyebabkan kesesakan yang lebih lagi kepada bandaraya Johor Bahru, kesan daripada kemasukan pelancong dan rakyat Singapura melaluinya. Maka dimana hujahnya bahawa keperluan jambatan baru ini adalah bagi mengatasi kesesakan tersebut ? Begitu juga bagi persoalan untuk hujah yang berpendapat bahawa keperluan jambatan baru ini adalah untuk menggurangkan kadar kesesakan di Tambak Johor. Bukankah kerajaan telah melabur jutaan ringgit bagi mengatasi permasalahan ini dengan membina Second Link. Bukankah lebih menjimatkan jika tujuan dan matlamat untuk mengurangkan kadar kesesakan di bandaraya Johor Bahru tindakan yang diambil ialah dengan memperbesar, memperbaiki dan menaik tarafkan kemudahan Second Link berbanding dengan membina jambatan baru malahan ianya selari dengan prinsip asal pembinaan Second Link itu sendiri. Persoalannya adakah prinsip asal pembinaan Second Link untuk mengurangkan kesesakan di bandaraya Johor Bahru dengan mengalihkannya ke kawasan yang jauh daripada bandaraya Johor Bahru tidak lagi praktikal sehingga kerajaan begitu terdesak untuk merancang pembinaan jambatan baru bagi menangani permasalahan trafik di bandaraya Johor Bahru. Inilah persoalan yang menimbulkan keraguan DPPP terhadap projek pembinaan jambatan baru ini. DPPP melihat hasrat dan tujuan yang diuar-uarkan tidak lebih daripada alasan mudah bagi menyembunyikan hakikat sebenar.

DPPP berpandangan cara terbaik jika persoalan kesesakan bandaraya Johor Bahru dibangkitkan ialah dengan melakukan perancangan semula ke atas bandaraya Johor Bahru itu sendiri yang dilihat begitu tidak tersusun, jaringan jalannya yang terhad dan tidak sistematik perlu diperkemas dan dinaik taraf. Begitu juga dengan kemudahan pengangkutan awam yang tidak praktikal dan kelam kabut. Pembangunan padat yang bertumpu di bandaraya Johor Bahru juga dilihat tidak berstruktur, berperancangan dan dilihat hanya untuk memuaskan hati dan nafsu kepeimpinan, sedangkan sumbangannya kepada rakyat tidak jelas. Kesannya bandaraya Johor Bahru hari ini dipenuhi dengan projek lesu, malap dan seumpama hidup segan mati tak mahu. Dengan kenyataan yang ada jelas sekali faktor bagi melancarkan pergerakkan trafik yang digunakan oleh kerajaan adalah hujah kosong dan satu lagi sandiwara bagi menyembunyikan perkara sebenar keterdesakkan kerajaan khususnya kerajaan negeri Johor yang telah melaburkan jutaan duit rakyat bagi meneruskan projek mega tersebut. Ianya juga bagi mengaburi mata rakyat daripada kenyataan betapa lemahnya pentadbiran kerajaan dalam merancang pembangunan. Lebih teruk lagi ianya juga dijadikan alasan bagi menafikan sikap kerajaan khususnya kerajaan negeri Johor yang dilihat lebih menumpukan perhatian untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada pelancong khususnya daripada Singapura berbanding melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memenuhi hak dan kepentingan rakyat sendiri.

PENJAGAAN ALAM SEKITAR : JAMBATAN BARU JAWABANNYA ?

Begitu juga bagi isu kualiti ekosistem perairan Selat Johor yang dikatakan merosot ekoran kewujudan Tambak Johor, yang dijadikan hujah oleh kerajaan untuk mewajarkan tindakan pembinaan jambatan baru tersebut. Sememangnya DPPP tidak menafikan kewujudan Tambak Johor sedikit sebanyak menggugat kualiti ekosistem Selat Johor. Fizikalnya yang mengganggu aliran air mempengaruhi kehidupan didasarnya. Namun begitu persoalan yang timbul benarkah kesedaran untuk menjaga kualiti perairan Selat Johor ini satu kesedaran yang tulen sehingga kerajaan sanggup menghabis jutaan ringgit duit rakyat bagi membina jambatan baru ? Jika benar adalah lebih wajar jika kerajaan menumpukan usaha untuk mengatasi masalah penyaluran sisa dan sampah ke Selat Johor melalui beberapa batang sungai seperti Sungai Segget yang menyebabkan pencemaran berbanding untuk membina jambatan sebuah jambatan baru. Tetapi soalnya semenjak bila pula kerajaan khususnya kerajaan negeri Johor begitu prihati terhadap alam sekitar banyak hal lain seperti Projek Danga Bay, Projek Perlabuhan Tanjung Pelepas ( PTP ), Projek Waterfront City dan aktiviti pengorekan pasir berlesen, secara jelas bukan setakat menggaggu gugat kualiti ekosistem tetapi juga menyebabkan kehilangan pendapatan kepada rakyat yang bergantung kepadanya. DPPP mempersoalkan niat dan tujuan sebenar kerajaan di dalam hal ini. DPPP juga merasa amat kecewa dengan tindakan eksploitasi, memperalatkan isu berkaitan alam sekitar bagi mewajarkan tindakan pembinaan jambatan ini.

KETEGASAN DAN KEBIJAKSANAAN ATAU KECELARUAN ?

DPPP juga mempersoalkan kebijaksanaan keputusan kerajaan pada 30 Januari 2006 lalu untuk meneruskan projek pembinaan jambatan tersebut meskipun tanpa persetujuan kerajaan Singapura. Persoalan yang berbangkit bukan soal ketegasan yang dibuat tetapi soal kecelaruan keputusan yang dipamerkan. Kecelaruan yang jelas ialah pada kenyataan kerajaan melalui Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang menyatakan bahawa perundingan akan terus dilakukan dengan kerajaan Singapura berkenaan isu tersebut. Soalnya jika kerajaan telah bertegas untuk meneruskan pembinaan jambatan meskipun tanpa persetujuan kerajaan Singapura maka apa perlunya lagi perbincangan dan perundingan dilakukan. Bukankah pembinaan jambatan tersebut melibatkan perancangan yang teliti ianya melibatkan pelan, struktur, reka bentuk dan kewangan yang besar. Bukankah juga penglibatan Singapura dalam pembinaan jambatan akan mengubah begitu banyak faktor di dalam pembinaan jambatan ini termasuk reka bentuk dan struktur. Maka persoalannya dimanakah logiknya arahan penerusan projek tersebut dikeluarkan tetapi di dalam masa yang sama kerajaan masih lagi menagih rundingan dan kerjasama daripada kerajaan Singapura. DPPP melihat kecelaruan ini sebagai bukti kelemahan kerajaan dalam mengurus pembangunan negara. Jelasnya kerajaan tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada setiap tindakan dan keputusan yang diambil. Tidak cukupkah tambahan kos sebanyak RM 33 juta yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan bagi membina jalan untuk memastikan Kompleks Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin ( CIQ ) di Bukit Chagar yang bernilai RM 1.26 billion itu dapat beroperasi sepenuhnya pada tahun ini dengan menghubungkannya kembali ke Tambak Johor ekoran tergendalanya projek pembinaan jambatan. Hakikat inilah yang cuba disembunyikan oleh kerajaan, hakikat bahawa projek jambatan yang dipakejkan bersama di dalam projek mega Gerbang Selatan Bersepadu itu menghadapi masalah kesan daripada perancangan yang lemah dan tidak strategik kerajaan. Persoalan ketegasan dan sikap berdolak-dalik Singapura adalah peluang yang terhidang bagi kerajaan untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu sebenar.

MARUAH DAN KEDAULATAN BUKAN TARUHAN !

DPPP amat kecewa dengan kelemahan kerajaan dalam menangani isu ini, ketaranya kelemahan kerajaan sehinggakan mereka diperbudak dan dipermainkan oleh Singapura dengan sewenang-wenangnya. Apa yang membimbangkan DPPP ialah kelemahan ini dipergunakan dengan sebaiknya oleh Singapura. Terbaru menyedari betapa terdesaknya kerajaan Malaysia untuk meneruskan projek ini Singapura telah membuat tuntutan pakej bagi memberi persetujuan kerjasama dalam membina jambatan baru ini iaitu pembekalan pasir dan penggunaan ruang udara bagi tujuan latihan ketenteraan. Dua perkara yang dituntut oleh Singapura itu adalah bukti jelas sikap keterlaluan Singapura dan ianya juga jelas memperlihatkan betapa mudahnya kepimpinan negara ini diperkotak-katikkan. Dalam hal tuntutan pakej ini DPPP secara tegas berpendirian menolak dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan menagguk di air keruh yang dilakukan oleh Singapura. Dua tuntutan tersebut bagi DPPP bukan saja menifestasi kedaulatan negara tetapi juga lambang ketegasan yang perlu dipertahankan. Membekalkan pasir kepada Singapura sama saja seperti perbuatan seorang pengkhianat. Begitu juga halnya dengan memberi kebenaran kepada Singapura untuk menggunakan ruang udara Malaysia bagi tujuan latihan ketenteraan Singapura. DPPP menegaskan disini dengan peringatan yang amat keras kepada kepimpinan kerajaan Malaysia bahawa sebarang bentuk persetujuan ke atas dua tuntutan tersebut samada secara langsung atau tidak mahupun secara rasmi atau tidak adalah pengkhianatan terbesar UMNO/BN selaku kepimpinan kerajaan !

KESIMPULAN

Dengan persoalan-persolan ini jelas sekali terlalu banyak kesamaran di dalam isu pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor ini. Situasi yang timbul jelas reflek daripada sikap kerajaan sendiri yang tidak telus dalam perancangan. Persoalan-persoalan yang kian kerap didengar tentang wujudnya “kepentingan-kepentingan” dalam projek pembinaan jambatan baru ini perlu di nafikan kerajaan dengan ketegasan. DPPP mengingatkan kerajaan untuk tidak mengulangi episod penipuan, pengkhianatan dan tragedi yang sering terjadi dalam projek-projek mega milik kerajaan. Iktibar Hospital Senai, Projek MRR2 dan banyak lagi perlu direnung dan diinsafi. Begitu juga DPPP mengingatkan tentang penyesalan tidak berguna dalam perjanjian air dengan kerajaan Singapura ketika mempertimbangkan setiap keputusan.

PENEGASAN

Atas prinsip itu DPPP mendesak ketegasan perlu dipertahankan. DPPP juga menolak dengan tegas sebarang bentuk perjanjian berat sebelah diatas nama diplomasi dengan pandangan bahawa prinsip diplomatik dan ketegasan adalah dua hal yang perlu dipertahankan seiring. Hubungan Malaysia - Singapura perlu dipertahankan sebaik-baiknya dengan setiap pihak perlu menghormati kedaulatan dan maruah kedua-dua belah pihak. Setiap keputusan yang diambil perlu disandarkan atas prinsip status Malaysia - Singapura yang berada dalam lingkup keluarga besar ASEAN. Begitu juga DPPP menyeru kerajaan Malaysia dan Singapura untuk telus dan jujur dalam merungkai isu ini, kesempatan dan peluang yang terhidang perlu digunakan bagi mewujudkan keputusan yang tidak menekan mana-mana pihak. Secara tegas juga kelompok pimpinan kedua-dua buah negara perlu menolak sebarang unsur, usaha dan peranan mana-mana pihak untuk mengeksploitasi isu ini.

Mazlan bin Aliman
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
 
posted by dppk sekijang at 7:04 PM |


0 Comments: